Aminuddin Kekal MB Sehingga Isu Sokongan Diperjelas – Tuanku Mukhriz

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar sehingga kedudukan sokongan majoritinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) diperjelaskan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Aminuddin selepas menghadap Tuanku Muhriz hari ini, susulan kemelut politik yang tercetus di negeri berkenaan.

Menurut beliau, meskipun berdepan cabaran berkaitan sokongan, pentadbiran kerajaan negeri akan terus beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Perkembangan itu hadir tidak lama selepas UMNO Negeri Sembilan mengumumkan penarikan sokongan terhadap Aminuddin.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh kesemua 14 ADUN Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut.

Menurut Jalaluddin, tindakan menarik sokongan itu tidak dibuat secara sembarangan, sebaliknya berkait rapat dengan krisis semasa melibatkan empat individu bergelar Undang yang didakwa berusaha menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Isu berkenaan dilihat sebagai sensitif kerana melibatkan institusi diraja, sekali gus menjadi faktor utama yang mendorong keputusan tersebut.

Dalam pada itu, Aminuddin memberi jaminan bahawa pentadbiran negeri tidak akan terjejas walaupun berdepan tekanan politik ketika ini.

Beliau menegaskan fokus utama kerajaan negeri adalah memastikan kestabilan dan kebajikan rakyat terus terpelihara sementara isu sokongan majoriti diselesaikan mengikut saluran yang sewajarnya.

BBerkaitan

Latest articles