Akmal Pertahan Tindakan 14 ADUN BN Tarik Sokongan Aminuddin

MELAKA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tampil mempertahankan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan UMNO Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut beliau, keputusan tersebut bukan bersifat politik semata-mata, sebaliknya dibuat berlandaskan prinsip perjuangan parti yang tidak boleh dikompromi walau berdepan risiko kehilangan kuasa.

Akmal yang juga Ketua Pemuda BN menegaskan, langkah berani itu mencerminkan pendirian tegas UMNO Negeri Sembilan dalam mempertahankan asas perjuangan parti melibatkan agama, bangsa dan institusi raja.

“Kita tidak akan berdiam diri sekiranya kedaulatan raja-raja tercabar. Ini prinsip asas yang wajib dipertahankan dalam apa jua keadaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang DUN Melaka di Seri Negeri.

Terdahulu, media melaporkan kesemua 14 ADUN BN di Negeri Sembilan sepakat menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata keputusan itu dicapai secara sebulat suara susulan kemelut berkaitan isu adat yang sedang melanda negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Akmal menjelaskan penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan sebelum ini bukan didorong oleh keinginan untuk berkuasa, sebaliknya menjunjung titah Sultan Ibrahim ketika negara berdepan kebuntuan pembentukan kerajaan.

Katanya, walaupun UMNO pada awalnya menolak kerjasama dengan beberapa parti seperti PKR, BERSATU dan DAP, keputusan untuk bersama kerajaan dibuat demi memastikan kestabilan negara.

Namun, beliau menegaskan perkara itu tidak bermakna prinsip parti diketepikan.

Akmal yang juga ADUN Merlimau menegaskan, soal sama ada UMNO berada dalam kerajaan atau pembangkang bukan keutamaan utama.

Sebaliknya, katanya, mempertahankan prinsip parti adalah perkara yang tidak boleh dirunding.

“Kalau terpaksa hilang kuasa sekalipun, UMNO tetap akan mempertahankan prinsip. Kita boleh jadi kerajaan atau pembangkang, tetapi prinsip tidak boleh digadai,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles