SHAH ALAM: Dua lelaki termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) direman selama empat hari bermula hari ini hingga 27 April bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.
Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kedua-dua suspek yang berusia 57 dan 61 tahun tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira jam 9.07 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM bagi tujuan prosiding reman.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM Selangor semalam menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi NGO bagi membantu siasatan kes sama.
Sumber memaklumkan, dua daripada mereka yang berusia lingkungan 50-an dan 60-an ditahan di sekitar Lembah Klang pada petang semalam.
Seorang lagi suspek berusia 50-an pula ditahan kira-kira jam 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan setakat ini seramai tiga individu.










