Zahid Tegaskan MIC Kekal Dalam BN, Nafi Mohon Sertai PN

KUALA LUMPUR: MIC kekal sebagai komponen Barisan Nasional (BN) dan tidak pernah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, walaupun timbul dakwaan mengenai kewujudan surat berkaitan perkara itu, MIC sendiri menafikan pernah membuat permohonan berkenaan.

Menurut beliau, setakat ini parti berkenaan juga tidak pernah menyatakan hasrat untuk keluar daripada BN secara rasmi.

“Walaupun ada surat yang dikatakan dihantar kepada PN, MIC menafikan bahawa mereka pernah memohon untuk menyertai gabungan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung KIMMA ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Parti Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan parti tersebut telah memutuskan untuk terus bersama BN, mengambil kira perubahan kepimpinan dalam PN.

Dalam perkembangan lain, Zahid turut mengulas cadangan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Beliau menegaskan pandangan itu adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi UMNO mahupun BN.

“Itu hanyalah pandangan individu, bukan keputusan atau pendirian parti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles