Babak Atas Katil Didapati Langgar Skrip Asal, Peraturan – UM

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mengakui satu persembahan teater yang mencetuskan kontroversi di media sosial baru-baru ini tidak mematuhi skrip asal yang telah diluluskan sebelum dipentaskan dalam Karnival Teater (KARVITER).

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak universiti memaklumkan bahawa adegan yang dipersembahkan itu jelas menyimpang daripada garis panduan pertandingan serta melanggar syarat yang ditetapkan penganjur.

Menurut UM, setiap penyertaan dalam KARVITER diwajibkan bebas daripada unsur negatif, provokasi atau kandungan yang boleh menjejaskan nilai agama, moral, budaya serta reputasi institusi.

“Universiti memandang serius perkara ini dan mengambil maklum segala kebimbangan yang dibangkitkan oleh masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, UM turut memohon maaf atas insiden berkenaan dan mengakui kekhilafan yang berlaku telah menimbulkan kegusaran awam.

Tegas universiti tersebut, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan program atau garis panduan yang telah ditetapkan.

Sebagai tindakan susulan, persembahan terbabit telah diputuskan tidak layak untuk dinilai dalam pertandingan, manakala langkah pemantauan akan dipertingkat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kontroversi itu mula menjadi perhatian selepas pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, mempersoalkan kewajaran babak intim termasuk adegan sentuhan fizikal dan aksi di ranjang yang dipaparkan dalam teater tersebut.

Beliau mendakwa memiliki rakaman video persembahan itu, namun enggan menyebarkannya kerana menyifatkan kandungannya sebagai memalukan, apatah lagi disertai sorakan penonton.

Dalam reaksinya, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai nilai akhlak generasi muda meskipun menerima pendidikan tinggi.

BBerkaitan

Latest articles