22 Individu Disiasat SKMM Berhubung 36 Kes Berita Palsu Berkaitan Krisis Tenaga Global

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu di media sosial dan platform digital yang dikaitkan dengan krisis tenaga global.

Dalam perkembangan sama, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan.

Menurut SKMM, daripada jumlah itu, enam kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian lanjut dan kemungkinan tindakan susulan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam kenyataan tersebut, SKMM menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat tidak sahih.

Sehubungan itu, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

Orang ramai turut diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

BBerkaitan

Latest articles