Kerajaan Perlu Segerakan Reformasi Ditunggu Rakyat, Jangan Berkompromi – Nabil Halimi

​MELAKA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Kerajaan Perpaduan supaya menyegerakan pelbagai agenda reformasi yang masih dinantikan oleh rakyat tanpa perlu terlalu berwaspada atau berkompromi demi menjaga hati mana-mana pihak.

​Naib Ketua AMK, Muhammad Nabil Halimi menegaskan, sebagai sebuah parti yang lahir daripada perjuangan reformis, PKR tidak boleh tawar-menawar dalam melaksanakan perubahan institusi penting dalam baki tempoh mandat yang ada.

​Menurut beliau, cabaran utama sesebuah parti reformis apabila menjadi kerajaan adalah imbangan antara melakukan perubahan dan mengekalkan kestabilan politik.

​”Bila kita melawan kerajaan, kita menuntut perubahan. Tetapi apabila kita menjadi kerajaan, kita mula memikirkan kestabilan.

​”Namun dalam baki mandat ini, saya berharap kita dapat segerakan reformasi yang rakyat masih tunggu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional AMK 2026 di sini hari ini.

​Antara tuntutan reformasi utama yang digariskan beliau termasuklah menyempurnakan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menetapkan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta meluluskan Akta Pendanaan Politik.

​Muhammad Nabil turut menggesa jentera pemuda parti itu supaya tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya tampil sebagai ‘penolak’ yang berani untuk memastikan agenda reformasi dilaksanakan secara menyeluruh.

​Tegasnya, PKR perlu berani menghadapi sebarang risiko politik sekiranya ada pihak yang cuba menghalang langkah reformasi berkenaan di Parlimen.

​”Kalau ada pihak yang menghalang atau ingin gagalkan undian di Parlimen, biarkan rakyat melihat siapa yang benar-benar mahu reformasi dan siapa yang menjadi penghalang.

​”Nak jatuhkan kerajaan kita sekarang? Silakan! Kita bertempur sebagai anak jantan… biar putih tulang, jangan putih mata,” tegas beliau membakar semangat perwakilan.

​Mengulas lanjut, beliau turut mengigatkan jentera parti supaya segera merapatkan jurang sokongan pengundi muda menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan menghentikan sebarang rungutan dan terus berkhidmat di peringkat akar umbi.

BBerkaitan

Latest articles