MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) digesa untuk melakukan muasabah diri secara mendalam ekoran kegagalan melahirkan wibawa pimpinan muda yang mampu bersaing atau duduk setaraf dengan kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di negeri berkenaan.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan, hakikat dan kenyataan pahit itu perlu ditelan oleh seluruh jentera dan pimpinan parti selepas melihat prestasi serta penerimaan rakyat di Johor ketika ini.
Menurut beliau, selepas beberapa tahun pilihan raya negeri berlalu, parti seolah-olah gagal menampilkan kepimpinan muda yang dapat dijadikan pilihan atau alternatif diyakini bagi rakyat Johor.
“Onn Hafiz menang besar dan menang bergaya di Johor. Ini kenyataan pahit yang perlu kita telan.
“Kita gagal melahirkan seorang watak dan tokoh yang mampu duduk setara dengan Onn Hafiz di Johor.
“Itu realiti dan hakikat yang perlu kita renung serta muasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK), hari ini.
Mengulas lanjut, Kamil turut menempelak sikap sesetengah pimpinan dan jentera parti yang gemar menduga kejayaan sebelum pilihan raya, namun gagal menyusun kerja di peringkat akar umbi secara berkesan.
Jelasnya, politik hari ini tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada populariti atau jawatan yang dipegang, sebaliknya memerlukan kehadiran (presence), naratif yang kuat serta hubungan kemasyarakatan yang erat di peringkat akar umbi.
“Persoalannya, adakah kita telah berjaya melahirkan tokoh muda di negeri itu yang mampu dijelmakan sebagai pilihan alternatif kepada rakyat Johor?
“Kita sudah ada amanah dan ruang yang diberikan. Jadi buatlah kerja, jalankan tugas serta amanah tersebut,” tegas beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh barisan pimpinan AMK di semua peringkat untuk kembali membina kekuatan jentera, menggilap idealisme perjuangan dan memperkasakan khidmat kepada rakyat demi memastikan parti kekal relevan pada masa hadapan.










