PKR Tidak Goyah, Kamil Sifatkan Penghijrahan Ahli Ke Bersama Tidak Signifikan

MELAKA: Penyertaan sebahagian bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Parti Bersama Malaysia (Bersama) disifatkan tidak memberi kesan besar terhadap kekuatan keseluruhan organisasi PKR.

Ketua Pemuda PKR, Kamil Munim, berkata sokongan di peringkat akar umbi terhadap parti itu masih berada pada tahap kukuh, antaranya dapat dilihat menerusi kehadiran tinggi perwakilan pada Kongres Nasional Tahunan Pemuda PKR yang bermula hari ini.

Menurutnya, komitmen anggota untuk terus bersama PKR jelas apabila jumlah perwakilan yang hadir ke persidangan berada pada tahap memberangsangkan.

“Ahli parti terus menunjukkan sokongan dengan hadir ke persidangan perwakilan dalam jumlah yang sangat tinggi. Ini membuktikan komitmen serta tekad mereka untuk terus bersama PKR,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, bahawa sebahagian anggota PKR memilih menyertai Bersama susulan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan awal bulan ini.

Rafizi yang juga pengasas Bersama pada Rabu mendakwa sekitar 25 peratus keahlian parti baharu itu terdiri daripada bekas anggota PKR.

Katanya, kira-kira 15 peratus lagi pula merupakan bekas anggota parti politik lain termasuk UMNO, PAS dan Bersatu, manakala selebihnya, iaitu 60 peratus, terdiri daripada individu yang sebelum ini tidak pernah menyertai mana-mana parti politik.

Kamil bagaimanapun mengakui terdapat anggota PKR yang meninggalkan parti untuk menyertai Bersama, namun menegaskan jumlah berkenaan tidak cukup besar untuk menjejaskan kekuatan PKR secara keseluruhan.

Beliau berkata, antara alasan yang diberikan oleh anggota yang keluar ialah hilang kepercayaan terhadap PKR dan memilih untuk menyertai parti yang diasaskan Rafizi.

“Saya tidak menafikan memang ada permohonan daripada anggota parti sebelum ini untuk keluar. Ada yang menyatakan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap parti dan memilih untuk bersama parti yang diasaskan Rafizi.

“Saya tidak mempunyai jumlah tepat, tetapi berdasarkan laporan serta angka yang kita terima, jumlah itu tidak signifikan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamil mengakui kemunculan Bersama tetap memberi sedikit cabaran kepada PKR, khususnya di kawasan yang menyaksikan kedua-dua parti menyasarkan kelompok pengundi yang sama.

Katanya, pengalaman tersebut akan dijadikan sebagai penilaian penting bagi memperkukuh strategi PKR dan mendapatkan sokongan lebih besar pada pilihan raya akan datang.

“Kita melihat perkara ini berlaku di dua kawasan, iaitu Bukit Batu dan Perling ketika PRN Johor, yang mempunyai calon daripada parti tersebut.

“Sebelum ini kita tewas dengan majoriti yang sangat kecil dan perubahan undi yang sedikit sahaja boleh memberi kesan kepada keputusan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles