KUALA LUMPUR: Suasana Wacana Ilmiah Perdana anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bertukar tegang apabila tiga lelaki bertindak mengganggu Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki ketika beliau sedang menyampaikan ucaptama.
Kejadian itu berlaku apabila individu terbabit, dipercayai mewakili sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Mandiri, muncul dengan membawa plakad bertulis ‘Azam Baki Simbol Reformati’.
Mereka bergerak di sekitar dewan sambil mempamerkan mesej berkenaan kepada para hadirin, sekali gus mencetuskan suasana kurang selesa.
Tindakan tersebut bagaimanapun segera ditangani oleh pegawai SPRM yang bertugas.
Salah seorang daripada lelaki berkenaan dihalang dan diiring keluar dari Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), walaupun sempat berlaku sedikit pergelutan.
Dalam masa sama, seorang lagi individu turut melakukan aksi serupa di bahagian belakang dewan dengan menghadap hadirin.
Keadaan itu menimbulkan gangguan kepada kelancaran program sebelum dia turut diarah keluar.
Sebelum meninggalkan lokasi, lelaki tersebut sempat melaungkan kata-kata berbaur provokasi terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun berdepan gangguan tersebut, Azam Baki tetap meneruskan ucapannya tanpa henti, selain menyifatkan insiden berkenaan sebagai satu gangguan biasa yang tidak menjejaskan perjalanan keseluruhan program.










