MELAKA: Tempoh reman terhadap lima individu termasuk empat beranak yang dikaitkan dengan kes penemuan rangka bayi di Kelemak disambung selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan, perintah lanjutan reman itu dibenarkan mahkamah sehingga esok melibatkan semua suspek berusia antara 14 hingga 40 tahun.
Menurut beliau, kertas siasatan dijangka dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyembunyikan kelahiran,” katanya ketika ditemui pemberita.
Difahamkan, empat daripada suspek merupakan ahli keluarga terdekat termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi berkenaan. Turut ditahan ialah ibu, kakak, adik lelakinya serta teman lelaki remaja tersebut.
Terdahulu, pada 25 Mac lalu, penemuan rangka bayi yang dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu menggemparkan penduduk setempat selepas ia ditemui ditanam di laman sebuah rumah tidak berpenghuni, berhadapan rumah keluarga terbabit.
Insiden tragis itu mencetuskan kejutan dalam kalangan penduduk yang ketika itu masih dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sumber turut memaklumkan, sebelum kejadian terbongkar, dipercayai berlaku perselisihan faham antara ibu bayi tersebut dengan kakaknya yang akhirnya membawa kepada pendedahan kes menyayat hati itu.










