Konflik Asia Barat: Anwar Bimbang Harga Minyak, Makanan, Baja Melonjak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan konflik di Asia Barat yang semakin tegang, khususnya susulan serangan Israel ke atas Iran yang dijangka memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia.

Dalam perutusan khas petang tadi, beliau memberi amaran bahawa ketegangan berterusan berpotensi mengganggu rantaian bekalan global termasuk makanan, baja serta tenaga, sekali gus menekan harga di pasaran tempatan.

Menurutnya, sebarang sekatan di Selat Hormuz dan gangguan terhadap bekalan minyak serta gas dunia boleh memberi impak besar, walaupun Malaysia masih berada dalam keadaan relatif stabil hasil keupayaan syarikat petroleum negara, Petronas.

“Konflik ini menjejaskan bekalan tenaga global dan akhirnya memberi tekanan kepada harga. Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian terhadap kesan kemanusiaan yang semakin membimbangkan di rantau itu, termasuk di Lubnan yang menyaksikan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal, selain ketegangan yang merebak ke negara Teluk.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman dan pencerobohan, khususnya melibatkan tindakan Israel dan Amerika Syarikat, sambil menyifatkan situasi semakin rumit susulan tindak balas Iran.

Bagi meredakan ketegangan, Malaysia telah mengadakan rundingan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Iran, Presiden Mesir, Presiden Turkiye serta Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

Namun, usaha damai masih berdepan cabaran besar berikutan pendirian Iran yang mahukan jaminan keselamatan kukuh selepas mendakwa berulang kali dikhianati.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan kini giat membawa pulang rakyat Malaysia serta kapal minyak dari kawasan terjejas dengan kerjasama pihak Iran.

Mengulas langkah domestik, beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan pendekatan menyeluruh termasuk pengurusan permintaan secara lebih berhemah bagi memastikan kestabilan bekalan.

“Apabila bekalan makanan terjejas, harga akan meningkat, begitu juga baja dan tenaga. Kita tidak boleh menganggap Malaysia kebal daripada situasi ini,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar memahami serta menyokong langkah yang diambil kerajaan demi menjaga kepentingan bersama.

“Saya berharap rakyat dapat memberi kerjasama kerana semua ini dilakukan untuk melindungi majoriti,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles