KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli tampil menafikan dakwaan beliau menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin, yang dikaitkan dengan penyelesaian isu ‘mafia korporat’.
Menerusi hantaran ringkas di Facebook, Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, “Bukan saya,” sambil menyindir dakwaan berkenaan yang kini hangat diperkatakan.
Penafian itu dibuat susulan kenyataan Victor yang mengugut untuk mendedahkan identiti individu terbabit sekiranya wang tersebut tidak dipulangkan.
“Bukan saya. Kecoh pasal Ahli Parlimen PKR terima RM9.5 juta dari Victor Chin.
“Terima lemak di perut bahana Raya, ya. Terima RM9.5 juta, tidak.
“Tapi sebab masih mood Raya, saya komen esok sajalah,” katanya sambil berseloroh.
Dalam masa sama, Rafizi memberi amaran bahawa isu berkenaan bukan lagi sekadar tuduhan biasa, sebaliknya berpotensi mendedahkan wujudnya elemen persengkongkolan dalam sistem.
Menurutnya, dakwaan melibatkan penggunaan undang-undang seperti AMLA untuk menekan pihak tertentu perlu disiasat secara serius kerana ia membayangkan kemungkinan campur tangan pihak berkepentingan dalam penguatkuasaan.
Beliau turut menegaskan, apabila dakwaan melibatkan nilai puluhan bilion ringgit dan jaringan pengaruh, ia bukan sekadar melibatkan individu, tetapi mencerminkan risiko besar terhadap integriti sistem negara.
Sebelum ini, Victor menerusi dokumen 40 muka surat mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta bagi menyelesaikan isu tersebut, namun hanya RM9.5 juta diserahkan.
Dakwaan itu turut mengaitkan tekanan terhadap eksekutif dan pemegang saham syarikat tersenarai.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas serta cubaan mencemarkan reputasi agensi.
Sementara itu, Mohd Khalid Ismail mengesahkan polis bersama Suruhanjaya Sekuriti telah melakukan serbuan ke atas beberapa premis milik Victor bagi membantu siasatan di bawah AMLA, ketika tekanan untuk mendedahkan kebenaran terus memuncak.










