GEORGETOWN: Tindakan tidak senonoh sepasang kekasih di sebuah tanah perkuburan mencetuskan kejutan apabila rakaman kejadian itu tular di media sosial, sebelum kedua-duanya tampil mengaku terlibat.
Kes terbabit terbongkar selepas seorang lelaki warga emas membuat laporan kepada polis berhubung video yang memaparkan aksi kurang sopan pasangan tersebut di kawasan Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung, Air Itam, yang dipercayai berlaku pada 22 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan wanita berusia 37 tahun di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak, diikuti lelaki berusia 58 tahun di kawasan Sungai Ara pada malam yang sama.
Menurut beliau, kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan telah mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.










