KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara (Wawasan) mahu Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengamalkan sikap bertolak ansur dalam rundingan pembahagian kerusi bagi memastikan momentum ‘gelombang biru’ dapat diteruskan, khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pemimpin utama parti dalam kedua-dua gabungan perlu mengambil pendekatan terbuka dengan duduk semeja bagi mencari formula terbaik berkaitan agihan kerusi.
Menurut beliau, kepentingan lebih besar perlu diberi keutamaan sekiranya PN dan BN benar-benar mahu membentuk kerjasama politik yang lebih kukuh.
“Jika kita benar-benar mahu bergabung dan meneruskan ‘gelombang biru’ yang telah bermula di Johor, semua pihak perlu mempunyai sikap bertolak ansur.
“Presiden-presiden parti perlu duduk semeja untuk membincangkan pembahagian kerusi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Wawasan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa gabungan itu berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandangnya pada PRN Melaka akan datang.
Zahid bagaimanapun dilaporkan terbuka untuk mengadakan persefahaman dengan mana-mana pihak termasuk PN, seperti yang berlaku pada PRN Negeri Sembilan.
Mengulas rundingan rasmi antara gabungan berkenaan, Hamzah berkata setakat ini belum ada tarikh ditetapkan.
Namun, katanya, perbincangan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada Melaka, sebaliknya mengambil kira kepentingan politik di negeri-negeri lain yang bakal berdepan pilihan raya.
“Agenda yang lebih besar ialah kepentingan rakyat. Kita tidak mahu selepas berkempen dengan pelbagai janji, apabila sudah menang dan berkuasa, pendekatan berubah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamzah berkata Wawasan mempunyai hasrat untuk bertanding di DUN Bemban dan Sungai Udang pada PRN Melaka.
Katanya, hasrat itu dibuat susulan dakwaan bahawa penyandang kedua-dua kerusi berkenaan telah menyatakan sokongan kepada Wawasan.
Justeru, beliau berpandangan wakil rakyat terbabit wajar diberi peluang untuk mempertahankan kerusi masing-masing di bawah parti berkenaan.
Sementara itu, Hamzah berkata Wawasan tidak menutup pintu kepada mana-mana individu yang mahu menyertai parti tersebut, termasuk pemimpin daripada parti lain.
Katanya, parti itu bersedia menerima mereka yang boleh memberikan sumbangan serta memperkukuh kekuatan Wawasan.
Kenyataan itu turut dikaitkan dengan peletakan jawatan Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris.
“Kita telah mengumumkan sesiapa sahaja dialu-alukan menyertai Wawasan. Jika ada yang mahu menyertai parti dan boleh menyumbang kepada kekuatan parti, kita akan menerima mereka,” katanya.










