KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak seharusnya dijadikan sandaran mutlak dalam menentukan pembahagian kerusi sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mencapai persefahaman untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata keputusan pilihan raya di peringkat Parlimen dan negeri boleh berubah berdasarkan sentimen serta kecenderungan pengundi yang berbeza.
Beliau mengambil contoh perkembangan di Johor yang disifatkannya sebagai bukti jelas bahawa prestasi sesebuah parti pada PRU tidak semestinya mencerminkan keputusan pada PRN.
“BN hanya memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen di Johor pada PRU15, tetapi pada PRN Johor, BN berjaya menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN.
“PH sebelum ini yakin dapat menawan Johor selepas memenangi 14 kerusi Parlimen pada PRU15, namun keputusan PRN membuktikan sentimen pengundi bagi pilihan raya negeri dan Parlimen adalah berbeza,” katanya.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan keputusan PRU15 tidak boleh dijadikan formula tunggal untuk menentukan pembahagian kerusi mahupun menjangka keputusan PRN Melaka.
Kenyataan itu hadir susulan laporan mengenai kemungkinan BN dan PN membentuk persefahaman tertentu bagi menghadapi PRN Melaka, selepas kedua-dua gabungan berkenaan mencatat keputusan memberangsangkan pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos lalu.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata bentuk kerjasama antara BN dan PN bagi PRN Melaka mungkin berbeza, meskipun BN kini mempunyai rekod dominan di DUN negeri itu.
Pada PRN Melaka lalu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN. Bagaimanapun, keputusan PRU15 menunjukkan situasi berbeza apabila BN gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka.
Sebaliknya, PH dan PN masing-masing memperoleh tiga kerusi Parlimen di negeri berkenaan.
Ahmad berkata, rundingan pembahagian kerusi antara BN dan PN perlu berlandaskan semangat kerjasama yang lebih panjang, bukannya semata-mata berdasarkan keputusan pilihan raya terdahulu.
Katanya, parti yang menerajui sesebuah kerajaan negeri sewajarnya diberikan kelebihan untuk mempertahankan kedudukannya.
“Di negeri yang BN memerintah, wajarlah BN diberi kelebihan. Begitu juga di negeri yang PAS memerintah.
“Kalau kita mahu kerjasama ini berkekalan, kedua-dua pihak perlu saling memberi ruang di negeri masing-masing. Daripada situ barulah persefahaman jangka panjang dapat diwujudkan,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad berpandangan BN wajar diberi keutamaan untuk mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN Melaka lalu.
Pada masa sama, katanya, PAS juga perlu diberikan keutamaan di negeri-negeri yang ditadbir parti berkenaan sebagai sebahagian daripada prinsip saling menghormati dalam kerjasama politik.
Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Malam Baca Puisi Persatuan Penulis Nasional (PENA) sempena Hari Kebangsaan 2026 di Rumah PENA, malam tadi.
Hadir sama Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Sasterawan Negara ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menyambut baik penganjuran program berkenaan yang disifatkannya sebagai wadah penting untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta mempertahankan warisan kesusasteraan Melayu.
Katanya, agenda pembangunan negara tidak seharusnya menyebabkan khazanah seperti puisi, syair, pantun dan gurindam dilupakan.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai pemimpin politik mendekati golongan sasterawan bagi memahami usaha mereka dalam mempertahankan akar budaya bangsa.
“Saya gembira apabila program ini menghimpunkan sasterawan lama dan baharu, termasuk golongan muda.
“Saya juga berharap lebih ramai ahli politik hadir ke PENA, bukan untuk berpolitik, tetapi memahami perjuangan sasterawan dalam memastikan akar budaya bangsa tidak tercabut akibat arus pembangunan,” katanya.










