Suami Tular Pukul, Langgar Isteri Telah Ditahan

MELAKA: Seorang lelaki yang tular kerana bertindak ganas memukul isterinya yang sedang hamil hingga melanggar kepala mangsa dengan motosikal akhirnya diberkas polis pagi semalam.

Suspek berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Melaka.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 20 tahun dipukul oleh suaminya dalam kejadian di hadapan sebuah premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar, Ahad lalu.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan suspek bertindak agresif dengan memukul, menampar dan menarik rambut mangsa sebelum melanggar kepala wanita berkenaan menggunakan motosikal.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan pipi kanan sebelum dikejarkan ke Zon Merah Hospital Melaka untuk rawatan.

Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang oleh ibunya sebelum membuat laporan polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan, selain dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

BBerkaitan

Latest articles