AGC Perjelas Nicky Liow Bukan Dilepaskan Tanpa Tindakan, Bayar Kompaun RM10 Juta Sebelum Pertuduhan Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, tidak pernah dilepaskan tanpa sebarang tindakan undang-undang, sebaliknya penyelesaian kes dibuat mengikut peruntukan undang-undang selepas beliau bersetuju membayar kompaun sebanyak RM10 juta.

Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan keputusan menarik balik 26 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Nicky dibuat selepas kompaun itu dibayar sepenuhnya pada 29 Mei 2023.

Menurut AGC, selain kompaun RM10 juta, penyelesaian tersebut turut melibatkan pelucuthakan bon bernilai RM647,366 serta pelucuthakan harta yang sebelum ini disita.

Katanya, tindakan menarik balik pertuduhan dibuat selaras dengan Seksyen 92 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Berikutan pembayaran kompaun itu, pada 15 Jun 2023 Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan Liow Soon Hee dilepaskan dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan,” menurut kenyataan itu.

Penjelasan tersebut dibuat susulan laporan sebuah portal berita yang mempersoalkan keputusan Jabatan Peguam Negara berhubung status pelepasan ahli perniagaan berkenaan.

AGC menjelaskan, Nicky sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 12 April 2022 atas 26 pertuduhan mengikut Seksyen 4 AMLATFPUAA.

Kes berkenaan pada asalnya dijadualkan untuk dibicarakan antara 6 Julai hingga 27 September 2023.

Bagaimanapun, sebelum perbicaraan bermula, Nicky menerusi firma guamannya, Tetuan Rajpal, Firah & Vishnu mengemukakan dua representasi bertarikh 15 Disember 2022 dan 6 April 2023 bagi memohon semua pertuduhan dikompaunkan di bawah Seksyen 92 akta berkenaan.

Selepas meneliti representasi yang dikemukakan bersama keseluruhan keterangan hasil siasatan, pihak pendakwaan memutuskan untuk menawarkan kompaun kepada tertuduh.

AGC turut menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa budi bicara Peguam Negara seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat berpandukan bukti dan hasil siasatan tanpa dipengaruhi tekanan luar atau sentimen awam, di samping mengambil kira kepentingan integriti pendakwaan serta ketelusan sistem keadilan jenayah.

Pada Khamis lalu, peguam Nicky, Datuk Rajpal Singh, mengesahkan Jabatan Peguam Negara tidak meneruskan pendakwaan selepas menerima representasi anak guamnya.

Beliau turut memaklumkan Nicky telah menjelaskan tunggakan cukai sebanyak RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menyelesaikan pertuduhan berkaitan Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Mengikut pertuduhan asal, Nicky yang merupakan pengarah sebuah syarikat didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram serta memiliki wang yang dipercayai hasil aktiviti haram di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara 2016 hingga 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai wang terbabit atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles