MARANG: Keahlian BERSATU dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) terlucut secara automatik selepas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan gabungan baharu.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perkara itu mengambil kira peruntukan perlembagaan parti berkenaan penyertaan dalam mana-mana gabungan lain.
“BERSATU sudah membuat kenyataan untuk menubuhkan satu pasukan lain, dengan itu keahlian parti itu secara automatik keluar daripada gabungan PN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Dhuha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Bulan lalu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan memaklumkan BERSATU akan membentuk gabungan baharu yang lebih kukuh bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut dilaporkan, gabungan baharu itu antara lain bakal membabitkan parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PN tidak perlu mengeluarkan sebarang pemberitahuan atau makluman rasmi kepada BERSATU mengenai kedudukan parti berkenaan.
Beliau berkata ini kerana BERSATU dianggap keluar daripada gabungan secara teratur menerusi kenyataan yang telah dibuat sebelum ini.
“Saya berpendapat PN tidak perlu mengeluarkan surat rasmi terutama membabitkan perlucutan itu… perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” katanya.










