KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan bahawa keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu tergugur dengan sendirinya.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan berkenaan bercanggah dengan perlembagaan parti kerana tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan parti anggota boleh tergugur secara automatik.
“Kedudukan Bersatu sebagai parti anggota PN hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden menurut Fasal 7A Perlembagaan PN.
“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu.
“Justeru, Bersatu masih parti anggota PN yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menegaskan Presiden Pas tidak mempunyai sebarang hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN.
Beliau menyifatkan kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi sebagai semberono sekali gus mencerminkan kepimpinan parti itu yang didakwa tidak memahami perlembagaan gabungan sendiri.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mendakwa tindakan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN menghalang wakil Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu adalah bercanggah dengan perlembagaan.
Mesyuarat berkenaan dilaporkan membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Setiap parti anggota mempunyai hak di bawah Fasal 7.1 Perlembagaan PN untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri dan Kawasan masing-masing.
“Sehubungan itu, Bersatu akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung pelanggaran perlembagaan yang serius ini,” tegasnya.
Beliau menambah, PN yang kini didakwa dikuasai Pas tidak lagi menjunjung perlembagaan parti, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik serta bertindak secara tidak demokratik.
Katanya, Bersatu akan terus bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta mempertahankan prinsip keadilan demi masa depan negara.










