SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan rakyat agar sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ketidaktentuan ekonomi global dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah.
Menerusi kenyataan Istana Alam Shah, baginda bertitah rakyat perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebagai persediaan menghadapi kesan krisis dunia yang semakin meruncing.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan konflik dan peperangan di beberapa rantau termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Barat yang memberi impak besar kepada dunia, khususnya umat Islam.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menegaskan kepentingan memperkukuh perpaduan dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Ambil iktibar daripada apa yang berlaku di luar negara. Jangan kita leka, sebaliknya terus memperkukuh kesatuan dan keharmonian,” titah baginda.
Baginda turut menyeru semua pihak termasuk pemimpin, ahli politik dan rakyat agar memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri serta memakmurkan negara.
Terdahulu, dalam perutusan sempena Aidilfitri, baginda bersama Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan kesyukuran kerana sambutan hari raya dapat diraikan dalam suasana aman dan sejahtera.
Baginda turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta berharap sambutan itu membawa keberkatan, kebahagiaan dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan rakyat.










