Penutupan Teluk Hormuz Tidak Jejas Bekalan Elektrik Negara – Fadillah

KUALA LUMPUR: Sistem bekalan elektrik di Malaysia kekal stabil walaupun berlaku ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk tindakan Iran menutup laluan strategik Selat Hormuz awal bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkembangan tersebut setakat ini tidak menjejaskan tahap ketersediaan bekalan elektrik negara.

Menurut beliau, sistem penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia sebahagian besarnya bergantung kepada gas asli, yang menyumbang kira-kira 40 hingga 45 peratus daripada bahan api bagi loji jana kuasa.

Beliau menjelaskan sebahagian besar bekalan gas itu diperoleh daripada sumber domestik di Kerteh serta kawasan pembangunan bersama Malaysia–Thailand Joint Development Area (JDA).

“Bekalan gas dalam negara ketika ini berada pada tahap stabil dan mencukupi untuk menyokong operasi loji jana kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata kerajaan komited melindungi pengguna daripada kesan kenaikan kos bahan api global menerusi kerangka Incentive Based Regulation (IBR) bagi tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari 2025 hingga 2027.

Katanya, sebarang perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu akan diselaraskan melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) setiap bulan berdasarkan pergerakan harga sebenar di pasaran.

Beliau turut menjelaskan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik sehingga 600 kilowatt jam (kWj) sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos bahan api.

“Ini bermakna kira-kira 85 peratus pengguna domestik di seluruh negara tidak akan terjejas dengan turun naik harga bahan api di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, kadar AFA ketika ini dijangka kekal dalam bentuk rebat sehingga April 2026, namun ia boleh berubah sekiranya harga bahan api global meningkat.

Menurut Fadillah, sejak Julai tahun lalu kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM2.506 bilion melalui rebat bil elektrik kepada pengguna sebagai sebahagian usaha menggalakkan kecekapan penggunaan tenaga.

Beliau dalam masa sama menggalakkan orang ramai menggunakan elektrik secara berhemah bagi membantu mengurangkan bil bulanan serta menyokong kelestarian sistem tenaga negara.

BBerkaitan

Latest articles