KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, terus menggesa pengurusan Tabung Haji (TH) memberikan penjelasan lebih menyeluruh berhubung isu pembayaran zakat, selepas mendakwa masih terdapat percanggahan antara kenyataan rasmi institusi itu dan penemuan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Rafizi berkata, walaupun beliau menghargai tindakan TH mengeluarkan kenyataan media semalam bagi menjelaskan pendiriannya, penjelasan tersebut masih gagal menjawab beberapa persoalan utama yang dibangkitkan dalam laporan RCI yang didedahkan kepada umum minggu lalu.
Menurut beliau, antara perkara yang masih menjadi tanda tanya ialah penegasan RCI bahawa perubahan akad daripada Mudarabah kepada Wadi’ah Yad Dhamanah tidak dimaklumkan kepada pendeposit bagi mendapatkan persetujuan supaya sebahagian keuntungan pelaburan digunakan sebagai subsidi.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, perubahan akad berkenaan turut mengubah kedudukan hubungan antara TH dan pendeposit daripada konsep rakan kongsi kepada peminjam, sekali gus memberi implikasi terhadap kaedah pembayaran zakat.
Katanya, berdasarkan perubahan itu, zakat yang dikenakan sepatutnya dikategorikan sebagai zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus, yang menurutnya melibatkan jumlah bayaran lebih tinggi berbanding zakat perniagaan yang diamalkan TH ketika ini.
“Dalam kenyataan media itu, TH hanya menyatakan zakat telah dibayar bagi pihak pendeposit, namun ia tidak menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh suruhanjaya.
“Pendirian tersebut secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pengurusan TH tidak bersetuju dengan penemuan RCI dan menganggap isu zakat tidak berbangkit,” katanya menerusi hantaran di Facebook atas kapasiti Parti Bersama Malaysia (Bersama), hari ini.
Sehubungan itu, Rafizi berharap pihak berkuasa termasuk pengurusan TH dapat memberikan penjelasan lanjut bagi merungkai persoalan yang dibangkitkan, khususnya mengenai status sebenar pembayaran zakat pendeposit.
Terdahulu, dua hari lalu beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan kedudukan pembayaran zakat pendeposit susulan penemuan yang disifatkannya sebagai membimbangkan dalam laporan RCI.
Menurut Rafizi, laporan berkenaan mendapati ketika TH melaksanakan akad Wadi’ah Yad Dhamanah antara 2016 hingga 2019, zakat sepatutnya menjadi tanggungjawab institusi itu sendiri dan bukannya dianggap telah dilunaskan oleh pendeposit.
Beliau turut mendakwa pendekatan tersebut bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995 yang tidak membenarkan Lembaga Tabung Haji meminjam serta tidak tertakluk kepada pembayaran zakat.
Bagaimanapun, TH sebelum ini menegaskan semua pembayaran zakat yang dibuat adalah bagi pihak pendeposit kerana institusi itu sendiri tidak diwajibkan mengeluarkan zakat.
Dalam pada itu, Rafizi berkata beliau akan terus mengemukakan persoalan berhubung isu berkenaan demi kepentingan orang ramai walaupun menyedari perkara itu sensitif.
“Saya berharap pihak berwajib termasuk pengurusan Tabung Haji bersabar dengan saya yang perlu terus bertanya bagi pihak rakyat.
“Saya pernah melalui keadaan apabila setiap isu berkaitan pengurusan dan kewangan TH dinafikan sepenuhnya sehingga saya dituduh memfitnah, laporan polis dibuat terhadap saya dan saya diheret ke mahkamah.
“Namun, 10 tahun kemudian, laporan RCI mengesahkan bahawa isu-isu yang sebelum ini dinafikan oleh pengurusan TH ketika itu sebenarnya benar,” katanya.










