Kerajaan Sabah Fail Saman Lebih RM 2 Bilion Terhadap Firma Audit EY Berhubung Audit Bank SDB

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap Ernst & Young PLT (EY), dengan mendakwa firma audit itu gagal melaksanakan tanggungjawab profesionalnya ketika mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.

Melalui notis mahkamah yang dilihat The Rakyat Insight, tindakan saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif, manakala Ernst & Young PLT dinamakan sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY telah melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care) ketika menjalankan audit berkanun ke atas penyata kewangan SDB, sekali gus menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu tidak dapat dikesan lebih awal.

Menurut dokumen mahkamah itu, SDB didakwa telah menjadi tidak solven selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2018 apabila 85.94 peratus daripada portfolio pinjamannya direkodkan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

Namun, EY didakwa terus mengeluarkan pendapat audit tanpa pengecualian bagi tahun kewangan 2018 hingga 2022, sekali gus membolehkan SDB menerbitkan program bon bernilai RM3 bilion pada 2021.

Plaintif turut mendakwa akibat kegagalan tersebut, mereka hanya mengetahui kedudukan kewangan sebenar SDB pada 2023 dan mengalami kerugian yang merangkumi deposit tetap RM650 juta, suntikan modal RM90 juta serta tambahan deposit tetap RM660 juta yang ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus.

Selain itu, plaintif mendakwa masih menanggung kira-kira RM1 bilion liabiliti SDB yang perlu dibayar sehingga September 2029.

Dokumen itu juga menyatakan Kerajaan Negeri Sabah telah memberikan komitmen kewangan yang besar kepada SDB, termasuk surat-surat sokongan bagi program bon berjumlah RM7.5 bilion serta deposit tetap melebihi RM1 bilion, yang menurut plaintif bergantung kepada laporan audit EY mengenai kedudukan kewangan bank berkenaan.

Menurut pernyataan tuntutan, EY merupakan juruaudit SDB sejak 2011 sebelum tidak dilantik semula pada September 2024 dan digantikan oleh Forvis Mazars PLT sebagai juruaudit baharu bagi tahun kewangan 2024.

Plaintif turut mendakwa semakan oleh lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDB pada 2023 menemui pelbagai kekurangan serius, termasuk jumlah pinjaman tidak berbayar yang dianggarkan sekitar RM5 bilion atau hampir 70 peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman, selain dakwaan amalan “ever-greening” pinjaman dan penilaian aset sekuriti yang dipersoalkan – TRI

BBerkaitan

Latest articles