KUALA LUMPUR: Perjanjian perdagangan timbal balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat disahkan tidak lagi berkuat kuasa selepas keputusan mahkamah di negara itu membatalkan tarif yang sebelum ini dikenakan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Ghani berkata, keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang membatalkan tarif diperkenalkan oleh Donald Trump menyebabkan perjanjian tersebut terbatal serta tidak lagi mempunyai sebarang kesan.
Menurut beliau, mahkamah memutuskan bahawa kerajaan AS tidak boleh mengenakan tarif secara menyeluruh tanpa alasan kukuh serta perlu menyatakan industri yang terlibat sekiranya tindakan itu dibuat kerana lebihan perdagangan.
“Ia bukan sekadar ditangguhkan, tetapi terbatal dan tidak lagi wujud,” katanya kepada pemberita pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Desa Pandan.
Perjanjian berkenaan sebelum ini ditandatangani oleh Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan Presiden AS itu ke Kuala Lumpur sempena sidang kemuncak ASEAN pada Oktober lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari berkata AS kini bergantung kepada peruntukan di bawah Akta Perdagangan 1974 yang membolehkan negara itu mengenakan tarif sementara sehingga 10 peratus terhadap negara yang didakwa melanggar peraturan perdagangan antarabangsa.
Beliau turut memaklumkan Malaysia berpotensi berdepan tindakan perdagangan sekiranya siasatan yang dijalankan oleh AS di bawah Seksyen 301 akta berkenaan mendapati wujud pelanggaran peraturan perdagangan global.










