Guru Besar Didakwa Pukul Murid Tahun 1 Direman

JOHOR BAHRU: Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di Johor Bahru ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memukul seorang murid Tahun Satu dalam satu kejadian yang berlaku di kawasan kantin sekolah, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara kira-kira jam 4.55 petang pada hari sama.

Menurutnya, penahanan dibuat selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa pada jam 9.46 pagi.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit dipercayai dipukul oleh suspek ketika berada di kantin sekolah sekitar jam 7.39 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya juga didapati negatif.

Tambahnya, suspek kemudiannya dibawa ke mahkamah dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Menurut Radin Ramlan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak.

Terdahulu, kejadian itu mencetuskan perhatian ramai selepas satu hantaran dimuat naik oleh ibu saudara mangsa di Facebook yang memaparkan keadaan kanak-kanak tersebut ketika ditemui selepas insiden berkenaan.

Perkongsian itu kemudiannya tular dan mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai di media sosial.

BBerkaitan

Latest articles