PUTRAJAYA: Malaysia tidak akan terburu-buru menghantar pulang 5,000 pelarian Myanmar sebaliknya akan meneliti secara mendalam perkara itu bagi memastikan nyawa dan keselamatan mereka tidak terancam.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan kini sedang diteliti oleh Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurut beliau, sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab, Malaysia berpegang teguh kepada prinsip tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian sekiranya mereka berdepan kezaliman atau ancaman keselamatan di negara asal.
”Pihak kerajaan junta di Myanmar menyatakan kesediaan untuk menerima kembali 5,000 pelarian ini. Namun, Malaysia sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab tidak akan menghantar mereka pulang sekiranya mereka bakal dizalimi atau nyawa mereka terancam.
”Jadi ada beberapa perkara yang perlu kita teliti terlebih dahulu dalam perbincangan bersama kerajaan junta di Myanmar sebelum sebarang tindakan dilaksanakan,” katanya dalam sidang media mingguan, hari ini.
Fahmi menjelaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah mengambil maklum mengenai kesediaan kerajaan junta Myanmar tersebut, namun menegaskan syarat keselamatan utama mesti dipenuhi.
”Perdana Menteri mengambil maklum bahawa kita tidak boleh menghantar mereka pulang sekiranya nyawa mereka terancam.
“Kita akan teliti kriteria yang sesuai dan sekiranya memenuhi syarat serta selamat, barulah tindakan selanjutnya dilaksanakan,” tegas beliau.
Isu lambakan pelarian dan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dari Myanmar di Malaysia berlarutan susulan krisis politik dan kemanusiaan di negara berkenaan.
Ketegangan di Myanmar memuncak terutamanya selepas rampasan kuasa oleh pihak tentera (junta) pada Februari 2021 yang menumbangkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, selain konflik berpanjangan membabitkan etnik minoriti termasuk Rohingya di negeri Rakhine.
Keadaan itu menyaksikan ratusan ribu warga Myanmar melarikan diri ke negara-negara jiran termasuk Malaysia untuk mencari perlindungan.
Mengikut rekod UNHCR, Malaysia kini menampung lebih 180,000 pelarian dan pencari suaka dari Myanmar.
Meskipun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951, kerajaan atas dasar kemanusiaan sentiasa menyediakan perlindungan sementara, namun pada masa sama perlu mengimbangi implikasi sosial, ekonomi dan keselamatan dalam negara.
Cadangan penerimaan semula 5,000 pelarian ini oleh pihak junta menandakan satu potensi perkembangan baharu, namun Malaysia kekal berwaspada mengikut amalan undang-undang antarabangsa iaitu non-refoulement yang melarang pengembalian semula pelarian ke zon bahaya.










