BUKIT KAYU HITAM: Polis sedang menyiasat kemungkinan hutang berkaitan permainan kutu sebagai antara faktor yang membawa kepada kehilangan tiga sekeluarga yang dilaporkan tidak pulang ke rumah mereka di Taman Desa Bayanmas di sini sejak 20 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Radzi Abdul Rahim berkata, setakat ini siasatan masih diklasifikasikan sebagai kes orang hilang dan tiada rekod menunjukkan ketiga-tiga mangsa meninggalkan negara.
Beliau berkata, polis turut menerima satu laporan daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa dalam urusan permainan kutu melibatkan wanita yang dilaporkan hilang itu.
“Setakat ini, siasatan masih diteruskan sebagai kes orang hilang. Polis juga memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat sekiranya ternampak atau mengetahui keberadaan mereka.
“Dalam masa sama, siasatan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk kemungkinan mereka menjadi mangsa jenayah atau terbabit dalam kemalangan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Khairul Azhar Ahmad, 39, bersama isterinya, Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, serta anak lelaki mereka, Adid Khairul Azhar yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, Changlun.
Difahamkan, ketiga-tiga mereka gagal dikesan selepas dipercayai keluar dari kediaman mereka di Taman Desa Bayanmas pada 20 Julai lalu.
Kehilangan keluarga itu disedari selepas bapa kepada Siti Zulaikha, 62, gagal menghubungi anak, menantu dan cucunya sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam semalam.
Polis kini giat mengesan ketiga-tiga mangsa dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan.










