CHERAS: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan rombakan besar dalam struktur kepimpinan Majlis Tertinggi gabungan itu hari ini, menyaksikan beberapa tokoh utama mengalami perubahan peranan termasuk dilihat ‘turun pangkat’ daripada jawatan sebelum ini.
Antara perubahan paling ketara ialah pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu PN, mengambil alih kedudukan yang sebelum ini disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu kini memegang jawatan Timbalan Pengerusi dalam struktur baharu tersebut.
Perubahan turut melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan diberikan tanggungjawab sebagai Setiausaha Agung baharu.
Azmin sebelum ini memegang jawatan Setiausaha Agung namun melepaskan jawatan itu pada 1 Januari lalu.
Dalam rombakan sama, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menyaksikan perubahan peranan apabila kini dilantik sebagai Bendahari Agung PN, berbanding kedudukan sebelumnya sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.
Jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya pula kini disandang Datuk Dr Radzi Jidin, Naib Presiden Bersatu yang menjadi antara muka baharu dalam barisan kepimpinan gabungan tersebut.
Sementara itu, bekas menteri, Tan Sri Annuar Musa diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan PN.
Dalam kalangan parti komponen, Presiden Gerakan, Datuk Seri ominic Lau serta Presiden Malaysian Indian People’s Party, Punithan Paramsiven, kekal memegang jawatan Timbalan Pengerusi PN.
Bagi kuota PAS pula, Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN menggantikan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Sementara itu, jawatan Ketua Wanita PN turut menyaksikan perubahan apabila Datuk Mas Ermieyati Samsudin digugurkan selepas digantung keahlian parti selama dua penggal atau enam tahun kerana didapati melanggar peruntukan Perlembagaan parti serta kod etika ahli.
Kekosongan itu kini diisi oleh Nolee Ashilin Mohammed Radzi, manakala jawatan Ketua Pemuda PN kekal diterajui Afnan Hamimi Taib Azamuddeen.










