148 Kontena Buangan Terjadual Dikesan di Pelabuhan Klang, NRES Perhebat Ops Bongkar Tangani Lambakan E-Waste

KUALA LUMPUR, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi menangani isu lambakan kontena haram yang disyaki mengandungi sisa elektronik (e-waste) di pelabuhan utama negara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu dilaksanakan susulan lawatan kerja beliau ke Pelabuhan Klang pada 28 Februari lalu, yang membawa kepada pelaksanaan Ops Bongkar oleh JAS bagi memeriksa kontena yang ditahan.

Menurut beliau, operasi yang berlangsung dari 3 hingga 9 Mac 2026 itu melibatkan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat JAS, JAS Selangor, JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta JAS Negeri Sembilan.

“Ops Bongkar dilaksanakan sebagai langkah proaktif bagi menangani isu lambakan kontena di pelabuhan tersebut, khususnya untuk menyelesaikan pemeriksaan baki 213 kontena yang ditahan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana disyaki mengandungi e-waste,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi bersepadu itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi strategik termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Hasil pemeriksaan terhadap 213 kontena berkenaan mendapati 148 kontena mengandungi buangan terjadual, dengan 103 kontena disahkan mengandungi e-waste.

Selain itu, sebanyak 24 kontena didapati mengandungi buangan bateri asid plumbum, tiga kontena mengandungi buangan bateri lithium, manakala 18 kontena mengandungi campuran buangan terjadual dan bukan buangan terjadual.

Baki 65 kontena pula mengandungi sisa plastik dan skrap logam yang diklasifikasikan sebagai bukan buangan terjadual.

Menurut Arthur, rekod siasatan lanjut menunjukkan kira-kira 90 peratus kontena yang mengandungi buangan terjadual dan e-waste itu berasal dari Amerika Syarikat, manakala selebihnya datang dari beberapa negara lain termasuk Brazil, Singapura, Sepanyol, Turkiye, China, Thailand, Kanada, Saint Lucia, Barbados, Chile, United Kingdom, Jepun, Emiriah Arab Bersatu, Uruguay dan Ecuador.

Beliau berkata peningkatan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu oleh pelbagai agensi di pelabuhan termasuk usaha mempergiat pengesanan, pemeriksaan dan penahanan kontena yang disyaki mengandungi e-waste turut menyumbang kepada pertambahan kontena yang ditahan, sekali gus menyebabkan lambakan di kawasan pelabuhan.

Sehubungan itu, kementerian sedang meneliti cadangan penubuhan Cawangan Jabatan Alam Sekitar di Pelabuhan Klang melalui penambahan perjawatan bagi memperkukuh kawalan serta mempercepat tindakan penguatkuasaan terhadap kes melibatkan buangan terjadual atau e-waste.

Arthur berkata penugasan pegawai JAS secara tetap di pelabuhan dijangka dapat mempercepat proses pemeriksaan dan tindakan penahanan terhadap kontena mencurigakan, selain memastikan pengurusan kes dilaksanakan secara lebih cekap dan teratur.

“Langkah ini diyakini dapat membantu mengurangkan isu lambakan kontena serta memastikan operasi pelabuhan terus berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Malaysia mempunyai pendirian tegas untuk tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan terjadual, khususnya e-waste, selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Basel yang mewajibkan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar bagi setiap aktiviti rentas sempadan.

Menurutnya, memandangkan JAS tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran import bagi bahan tersebut, sebarang e-waste yang dikesan di pelabuhan negara adalah kemasukan secara haram dan merupakan aktiviti penyeludupan yang menyalahi undang-undang.

Bagi mengekang jenayah tersebut, NRES akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk AKPS, JKDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kementerian sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia tidak akan sesekali menjadi tempat pembuangan sampah dunia. Tindakan undang-undang tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak termasuk ejen atau syarikat perkapalan yang cuba berkompromi dengan keselamatan alam sekitar dan kesihatan awam negara,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles