SHAH ALAM: Polis mendedahkan juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis ekstasi dipercayai mendapatkan bekalan bahan terlarang itu di sebuah kawasan pangsapuri di Ampang sebelum berlepas ke Jakarta, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai jadual penerbangan ke Kota Kinabalu, Sabah pada hari sama sebelum kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki penerbangan ke Jakarta pada waktu malam.
Menurut beliau, suspek dipercayai terlebih dahulu mendaftarkan bagasi yang mengandungi dadah berkenaan di KLIA pada awal pagi sebelum meneruskan penerbangan domestiknya ke Kota Kinabalu.
“Hasil siasatan mendapati suspek mengambil bekalan dadah itu di sebuah kawasan pangsapuri di Ampang. Polis juga sudah mengenal pasti nombor telefon yang dihubungi suspek.
“Kita percaya suspek membuat daftar masuk awal bagi bagasinya di KLIA untuk penerbangan ke Jakarta.
“Selepas itu, dia menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu pada sebelah pagi sebelum kembali semula ke KLIA dan berlepas ke Jakarta pada malam hari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, hari ini.
Pendedahan itu mengukuhkan siasatan pihak berkuasa mengenai modus operandi yang dipercayai digunakan suspek sebelum ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.










