Isu Zakat TH: Kerajaan Jamin Patuh Syariah, Penjelasan Rasmi Menyusul Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan semua urusan berkaitan pembayaran zakat Tabung Haji (TH) dilaksanakan mengikut kehendak syariah dan hukum Islam, sekali gus meminta umat Islam tidak gusar dengan isu yang dibangkitkan kebelakangan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, setiap aspek berkaitan zakat TH telah diteliti secara menyeluruh dengan mendapatkan pandangan pakar-pakar dalam bidang syariah bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi ketetapan hukum.

“Secara umumnya, orang ramai tidak perlu bimbang. Semua aspek hukum sememangnya diberi perhatian dan kita mempunyai pakar-pakar yang memastikan setiap tindakan mematuhi keperluan syariah serta aspek hukum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Kumpulan Kewangan Islam Maybank dan Penyerahan Insentif Perkahwinan Asnaf Wilayah Persekutuan, hari ini.

Zulkifli mengulas kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menggesa kerajaan menjelaskan status pembayaran zakat bagi pihak pendeposit TH susulan penemuan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang didedahkan kepada umum pada Rabu lalu.

Menurut Rafizi, laporan itu mendapati pembayaran zakat yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) di bawah akad Wadi’ah Yad Dhamanah bagi tempoh 2016 hingga 2019 sepatutnya menjadi tanggungjawab agensi berkenaan dan bukannya ditanggung bagi pihak pendeposit.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu turut mendakwa pendekatan tersebut tidak selaras dengan peruntukan di bawah Akta Tabung Haji 1995.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan sama ada zakat bagi pihak pendeposit untuk tempoh 2016 hingga 2019 telah diselesaikan selepas pertukaran kerajaan.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan isu berkenaan, selain satu pembentangan khusus mengenainya dijadualkan berlangsung di Parlimen pada 11 Ogos.

“Insya-Allah, Tabung Haji akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara ini dan penjelasan lanjut juga akan dibuat menerusi sesi pembentangan di Parlimen pada 11 Ogos,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles