KUALA LUMPUR: Kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan bakal ditentukan oleh lebih 4,000 perwakilan parti pada Persidangan Kebangsaan DAP, 16 Ogos ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada malam tadi, yang bersetuju membawa satu usul khas kepada persidangan berkenaan.
Menurutnya, usul itu memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada DAP perlu terus kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa atau mengambil pendirian sebaliknya.
Anthony menegaskan keputusan itu tidak akan dibuat oleh CEC, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada proses demokrasi parti.
“Kita mahu keputusan sebesar ini ditentukan oleh para perwakilan, bukan hanya oleh ahli-ahli CEC. Lebih 4,000 perwakilan yang layak hadir akan membuat keputusan sama ada DAP perlu kekal dalam kerajaan atau tidak bagi baki tempoh penggal Parlimen ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat CEC.
Anthony berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen DAP terhadap amalan demokrasi dalaman, khususnya dalam menentukan hala tuju parti bagi tempoh akan datang.










