PM: Walaupun Harga Brent Cecah AS$100, RON95 Kekal RM1.99 Seliter

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan akan terus berusaha mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter, walaupun harga minyak mentah dunia menunjukkan peningkatan ketara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata lonjakan harga minyak global memberi tekanan kepada banyak negara, namun Malaysia masih mampu mengekalkan harga bahan api pada tahap yang lebih rendah berbanding kebanyakan negara lain.

Menurut beliau, kerajaan sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung dengan kenaikan harga minyak dunia.

“Walaupun kita sedar harga minyak global meningkat, keadaan di negara ini masih terkawal. Harga minyak Brent kini sudah melepasi AS$100 setong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya hari ini.

Anwar menegaskan kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya bagi memastikan kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa tidak membebankan rakyat.

“Kita masih mampu mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter dan kerajaan akan melakukan segala ikhtiar yang perlu supaya rakyat tidak terbeban,” katanya.

Sementara itu, dalam dagangan terkini, penanda aras minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) dilaporkan melonjak hampir 20 peratus kepada AS$109.17 setong, paras tertinggi yang tidak pernah dicatatkan sejak konflik Russia–Ukraine pada Februari 2022.

BBerkaitan

Latest articles