PUTRAJAYA: Seramai 5.2 juta penerima akan mula menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 secara berperingkat bermula 10 Mac ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan pembayaran yang diawalkan itu bertujuan membantu rakyat membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurut beliau, jumlah penerima bagi Fasa 2 meningkat berbanding lima juta penerima pada Fasa 1 yang telah dibayar pada Januari lalu.
“Kerajaan memperluaskan penerima bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati bantuan sosial ini, khususnya ketika negara menghampiri musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi STR Fasa 2, kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion, meningkat berbanding RM1.1 bilion yang disalurkan pada Fasa 1 sebelum ini.
Pembayaran tersebut melibatkan kira-kira 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tanpa pasangan, dengan kadar bantuan antara RM100 hingga RM600 bergantung kepada kategori kelayakan penerima.
Secara keseluruhan, kerajaan menyediakan RM15 bilion bagi pelaksanaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sepanjang tahun 2026.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan bantuan tersebut boleh melayari portal rasmi STR di
https://bantuantunai.hasil.gov.my.










