KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan umat Islam supaya tidak memandang ringan kisah-kisah sejarah yang terkandung dalam al-Quran kerana ia mengandungi pengajaran penting untuk memperbaiki kehidupan manusia serta membimbing masyarakat menghadapi cabaran zaman.
Dalam perutusan sempena sambutan Nuzul Quran, beliau menegaskan bahawa al-Quran bukan sekadar diturunkan untuk memperkukuh akidah dan memuliakan insan, malah mengangkat misi pembaharuan melalui kisah perjuangan para rasul yang sarat dengan hikmah dan teladan.
Menurutnya, peristiwa penurunan wahyu itu memiliki makna yang jauh lebih besar daripada sekadar ritual keagamaan, sebaliknya menjadi titik perubahan yang membawa transformasi besar kepada masyarakat.
Anwar berkata, bulan Ramadan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai tempoh untuk menunaikan ibadah puasa, memperbanyakkan tilawah al-Quran atau melaksanakan solat tarawih, tetapi juga sebagai ruang untuk menghayati peristiwa agung turunnya wahyu yang menjadi mukjizat kepada umat Islam.
“Melalui al-Quran, masyarakat jahiliah pada suatu ketika dahulu berjaya dibentuk menjadi khayra ummah, sebagaimana generasi para sahabat yang dikenali sebagai generasi al-Quran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menzahirkan harapan agar umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan, bukan sahaja untuk memperkukuh pegangan akidah, malah sebagai sumber inspirasi dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera, berakhlak dan berperadaban.
Menurutnya, penghayatan terhadap ajaran al-Quran mampu membantu umat Islam memahami makna kehidupan dengan lebih mendalam serta memandu mereka ke arah pembinaan sebuah masyarakat yang harmoni dan berintegriti.










