KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar wajar diberi peluang muncul sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-16 (PRU16).
Presiden Bersatu itu berkata, walaupun Menteri Besar Terengganu tersebut mungkin mempunyai pengalaman yang sedikit terhad di peringkat nasional, peluang tetap perlu diberikan bagi menilai kemampuan sebenar beliau.
Menurut Muhyiddin, tidak mustahil Samsuri mampu membuktikan keupayaan kepimpinannya sekiranya diberi ruang memikul tanggungjawab lebih besar.
“Mungkin pengalaman kurang sikit, tapi mana tahu bila dah dicuba dan diberi peluang, dia mampu tunjukkan kebolehan,” katanya dalam satu rakaman temu bual yang dimuat naik di Facebook Bersatu.
Rakaman berkenaan memaparkan maklum balas penuh Muhyiddin berhubung pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi Perikatan Nasional serta spekulasi mengenai calon Perdana Menteri gabungan itu.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan pelantikan Samsuri sebagai pengerusi PN tidak secara automatik menjadikan beliau calon Perdana Menteri bagi PRU16.
Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan bahawa perkara tersebut masih belum dibincangkan secara rasmi antara dua parti teras gabungan, Bersatu dan PAS.
Sementara itu, Samsuri sebelum ini memberikan maklum balas terhadap kenyataan Muhyiddin dengan menegaskan fokus utama PN ketika ini bukan soal siapa calon Perdana Menteri.
Sebaliknya, beliau menekankan keutamaan perlu diberikan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta memperkemas jentera gabungan menjelang PRU16.
Dalam wawancara sama, Muhyiddin turut mengulangi pandangannya bahawa jawatan pengerusi PN sepatutnya dipegang oleh pemimpin kanan daripada parti komponen.
Namun beliau mengakui perlembagaan gabungan itu tidak menetapkan syarat sedemikian.
Menurut Muhyiddin, PAS sebelum ini mencadangkan supaya naib presidennya, Samsuri, dilantik sebagai pengerusi.
“Kita ini sahabat dalam perjuangan. Tak mengapa jika kita beri ruang dan peluang kepada pemimpin serta tokoh muda untuk tampil ke hadapan,” katanya.










