Kapal Bersatu Makin Karam, Perlu Buat Keputusan Berani – Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan semakin hilang arah selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, sekali gus perlu membuat keputusan berani demi kelangsungan perjuangan politiknya.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan PRN itu memberi gambaran jelas mengenai kedudukan semasa Bersatu dalam landskap politik negara.

Beliau menyifatkan “kapal” Bersatu kini semakin tenat dan menggesa ahli serta pemimpin parti berkenaan mempertimbangkan untuk menyertai Parti Wawasan Negara sebagai wadah baharu.

“Realiti hari ini menyaksikan ‘kapal’ Bersatu semakin karam dan hilang arah tuju. Kepada rakan-rakan serta sahabat di dalam Bersatu, pintu kita sentiasa terbuka.

“Tiba masanya untuk anda membuat keputusan berani – marilah bergerak bersama Parti Wawasan Negara. Jangan biarkan perjuangan anda tenggelam bersama kapal yang sedang sarat dimasuki air,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas keputusan PRN Negeri Sembilan, Wan Saiful mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) atas kejayaan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Beliau berkata kemenangan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil penyelarasan jentera antara kedua-dua gabungan tersebut yang dilakukan secara tersusun.

“Sebagai wakil Perikatan Nasional dalam siri mesyuarat bersama BN, saya sendiri melihat bagaimana penyelarasan jentera diadakan tanpa henti, menyatukan gerak kerja bagi memastikan calon-calon kita diperkenalkan dan diterima baik pengundi di setiap pelusuk DUN.

“Kerja keras seluruh jentera di lapangan akhirnya membuahkan hasil yang amat membanggakan,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan, sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan BN memenangi 18 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) sebanyak 11 kerusi dan PN tujuh kerusi.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut memberi isyarat kepada DAP menjelang saingan pilihan raya seterusnya di Melaka, dengan mendakwa kemenangan BN dan PN di Johor serta Negeri Sembilan menunjukkan wujudnya “gelombang perpaduan biru”.

“Kepada DAP, terima kasih atas persaingan. Good luck saya ucapkan untuk pertarungan seterusnya di Melaka kelak.

“Isyarat rakyat di Johor dan Negeri Sembilan sudah cukup terang. Gelombang perpaduan biru ini tidak akan berhenti dan kita sedia berdepan lagi di Melaka,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan atas kepercayaan yang diberikan pada PRN kali ini.

BBerkaitan

Latest articles