SEREMBAN, — Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan BN dan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Beliau berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam sesi menghadap Tuanku di Istana Hinggap, Seremban, sejurus selesai proses pengiraan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Zahid, dalam sesi menghadap itu beliau telah mempersembahkan kepada Tuanku keputusan rasmi pilihan raya serta memaklumkan mengenai kesepakatan yang dicapai antara BN dan Perikatan Nasional.
“Atas perkenan Tuanku, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan membentuk Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.
Beliau berkata, BN menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan akan melaksanakan amanah mentadbir negeri dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri serta prinsip kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Dalam sidang media selepas sesi menghadap, Ahmad Zahid turut mendedahkan bahawa beliau telah mengemukakan tiga nama kepada Tuanku bagi dipertimbangkan untuk jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Duli Tuanku dan saya serahkan tiga nama itu atas budi bicara Tuanku untuk diperkenankan. Ia adalah hak mutlak Tuanku untuk memilih salah seorang daripada nama-nama yang dikemukakan itu sebagai calon Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
“Itu hak istana untuk mengumumkannya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kesemua calon yang dikemukakan adalah daripada BN, Ahmad Zahid menjawab, “Alhamdulillah, semuanya daripada BN.”
Sebelum itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi










