PH Dakwa Kempen Berunsur Perkauman Boleh Jejas Perpaduan Rakyat Negeri Sembilan

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) melahirkan kebimbangan terhadap kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang didakwa dipengaruhi unsur perkauman dan politik identiti sehingga berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Dalam kenyataan bersama kepimpinannya, PH berkata pendekatan berkenaan boleh mencetuskan perpecahan selain menyemai rasa curiga dalam kalangan rakyat, khususnya antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu.

PH menegaskan politik berasaskan ketakutan tidak seharusnya dijadikan pendekatan untuk meraih sokongan, sebaliknya kempen perlu memberi tumpuan kepada politik berteraskan nilai yang mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kaedah memajukan Negeri Sembilan dan Malaysia harus mengutamakan isu-isu asas seperti ekonomi tempatan, peluang pekerjaan generasi muda dan pendidikan anak-anak, kos sara hidup serta kebajikan.

“Bukannya dengan politik yang menakut-nakutkan rakyat,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Menurut PH, pembangunan negeri dan negara perlu dipandu oleh usaha memperkukuh aspek asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, termasuk ekonomi serta kesejahteraan sosial.

Dalam pada itu, berdasarkan kiraan tidak rasmi PRN Negeri Sembilan, PH mendakwa memperoleh kemenangan di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala keputusan rasmi masih menunggu pengesahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Angka berkenaan meletakkan PH sebagai gabungan kedua terbesar selepas Barisan Nasional (BN) yang dilaporkan memenangi 18 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan tujuh kerusi.

PH turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang keluar menunaikan tanggungjawab mengundi, selain mengucapkan tahniah kepada SPR, petugas pilihan raya, jentera parti serta pasukan keselamatan yang memastikan proses demokrasi berjalan lancar.

Kesemua calon PH dijadualkan turun ke kawasan masing-masing pada Ahad bagi menyantuni pengundi dan menzahirkan penghargaan atas sokongan yang diberikan, sebelum meneruskan khidmat masyarakat mulai Isnin.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun; Pengarah Pilihan Raya Amanah, Khalid Samad; Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan; serta Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

BBerkaitan

Latest articles