Tujuh Hero Kundang Terima Penghargaan PM

PUTRAJAYA: Keberanian tujuh pemuda yang bertindak pantas menyelamatkan seorang ibu dan dua anak kecil daripada lemas dalam nahas di Kundang baru-baru ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu pertemuan khas sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media di Kompleks Seri Perdana, Perdana Menteri meluangkan hampir 15 minit untuk mendengar sendiri detik cemas yang dilalui mereka ketika menyelamatkan mangsa.

Beliau menzahirkan rasa bangga atas keberanian serta keprihatinan yang dipamerkan ketujuh-tujuh pemuda berkenaan, sambil menyifatkan tindakan spontan itu sebagai contoh terbaik nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial yang perlu dicontohi masyarakat.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan khas sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian mereka membantu mangsa dalam situasi genting.

Tujuh individu terbabit ialah Mohd Shahrizal Jarami, 40; Mohamad Fahmi Ismail, 33; Adam Syah Reza Hendri, 19; Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23; Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam, 23; Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, 23 dan Hariz Ismat Ruzaiizan, 26.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita bersama dua anak kecil melalui detik mencemaskan apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam tasik di Kundang pada Selasa lalu.

Namun, kehadiran tujuh pemuda yang kebetulan berada di lokasi kejadian menjadi penyelamat apabila mereka bertindak segera mengeluarkan mangsa daripada kenderaan tersebut.

Insiden itu bukan sahaja mengundang perhatian ramai, malah menjadi simbol keberanian anak muda yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa orang lain.

BBerkaitan

Latest articles