JUASSEH: Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong menggesa pengundi Cina agar memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini dengan alasan ekonomi negara memerlukan pembaharuan dan hala tuju baharu.
Menurut beliau, isu ekonomi, peluang pekerjaan serta kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara kebimbangan utama masyarakat ketika ini, sekali gus menjadi faktor penting yang perlu dipertimbangkan oleh pengundi.
Beliau mendakwa pengalaman di Johor menunjukkan pentadbiran negeri itu berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini sehingga mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di negara ini.
“Perkara paling penting kepada masyarakat Cina masih lagi ekonomi. Undi yang diberikan perlu mampu membantu menggerakkan ekonomi negeri dan membawa lebih banyak peluang kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada satu program kempen di Juasseh, petang ini.
Neo berkata, rakyat pernah menggunakan pilihan raya sebagai medium untuk “mengajar kerajaan”, namun berpendapat kini tiba masanya pengundi menilai semula prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian sebenar, khususnya dalam aspek ekonomi, pendidikan dan kebajikan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada perubahan kerajaan sebelum ini benar-benar membawa peningkatan kepada ekonomi negara, peluang pekerjaan, sistem pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri, selepas perubahan yang berlaku, adakah ekonomi bertambah baik, pendidikan semakin maju dan kebajikan rakyat dipertingkatkan?” katanya.
Dalam masa sama, beliau menggesa pengundi, khususnya generasi muda, supaya melihat kepada masa depan negara dan memberi keutamaan kepada dasar yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
Neo turut menyentuh kepentingan perpaduan antara kaum dalam memastikan pembangunan negara dapat diteruskan, sambil menegaskan bahawa pembangunan ekonomi yang kukuh akan memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
Beliau juga menyeru pengundi luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian.
“Setiap lima tahun rakyat diberi peluang membuat pilihan. Kerajaan yang dipilih mestilah mampu berkhidmat kepada rakyat dan membawa pembangunan yang lebih baik,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Neo menggesa pengundi memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional pada PRN kali ini, sambil menyatakan keputusan pilihan raya akan menentukan bentuk kerajaan yang akan mentadbir negeri pada masa hadapan.










