Budak 12 Tahun Jadi Mangsa Cabul, Ditinggalkan Dalam Semak Dengan Berpakaian Dalam

MELAKA: Seorang murid perempuan berusia 12 tahun berdepan detik hitam apabila disyaki dicabul sebelum ditinggalkan hanya berpakaian dalam di kawasan semak berhampiran sekolahnya, semalam.

Lebih menyedihkan, ketika dijumpai kira-kira jam 7 malam, mangsa dalam keadaan terbaring di dalam semak sambil menangis akibat trauma dan ketakutan.

Malaysia Gazette melaporkan sumber, terdahulu kanak-kanak berkenaan disedari hilang oleh guru sekolah selepas mangsa tidak masuk ke kelas tambahan selepas tamat waktu persekolahan pada jam 1.05 tengah hari.

“Usaha mencari mangsa dilakukan sehinggalah semakan sistem kamera litar tertutup sekolah (CCTV) mendapati kelibat mangsa keluar dari kawasan sekolah sekitar waktu tengah hari.

“Hasil siasatan lanjut, mangsa memberitahu dia keluar sekolah pada waktu tengah hari selepas terlihat sebuah kereta seperti milik ibunya, namun beredar apabila mendapati kereta tersebut dipandu seorang lelaki yang tidak dikenalinya,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun terkejut apabila lelaki berkenaan bertindak mengejarnya menyebabkan dia berlari ke arah semak berhampiran untuk bersembunyi.

“Suspek bagaimanapun berjaya menjumpai kanak-kanak itu sebelum memintanya membuka pakaian sekolah memyebabkan mangsa yang ketakutan hanya berpakaian dalam.

“Selepas itu mangsa mendakwa, suspek menyentuh pipinya serta mengambil beberapa keping gambar menggunakan telefon bimbitnya sebelum beredar meninggalkan kawasan semak itu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian dijumpai ahli keluarganya yang melakukan operasi mencari sekitar kawasan sekolah pada kira-kira jam 7 malam tadi sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian murid berkenaan ditemui dalam semak disyaki dicabul.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles