KUALA LUMPUR: Isu janggut menjadi antara hujah dikemukakan pasukan pembelaan bagi mendapatkan jaminan lebih rendah terhadap ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman, yang berdepan pertuduhan berkaitan urus niaga sekuriti tanpa lesen.
Peguamnya, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus, memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa anak guamnya hanya mempunyai wang RM50,000 dan berdepan kemungkinan ditahan di penjara jika gagal membayar jaminan lebih tinggi.
Menurutnya, peraturan penjara yang mewajibkan rambut dipotong serta janggut dicukur akan memberi kesan kepada Mahadi.
Mahadi, yang juga suami kepada selebriti Heliza Helmi, didakwa atas dua pertuduhan di mahkamah berasingan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Sebagai wakil AUF MBZ PLT, beliau dituduh menjalankan aktiviti perdagangan sekuriti tanpa lesen sah.
Pembelaan turut memaklumkan Mahadi kini tiada pendapatan tetap dan menanggung ibu yang menghidap kanser, selain menawarkan cagaran tanah sebagai jaminan.
Mereka juga menegaskan tertuduh telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak berisiko melarikan diri.
Pendakwaan daripada Suruhanjaya Sekuriti sebelum ini mencadangkan jaminan RM200,000 berserta syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport dan melapor diri setiap bulan, atas faktor kepentingan awam serta keyakinan pelabur.
Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan Mahadi dibenarkan diikat jamin RM50,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.










