Jangan Putar Belit – Tengku Zafrul Bidas Rafizi Isu Tarif AS–Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menyelar Datuk Seri Rafizi Ramli supaya tidak terus mengelirukan rakyat berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat.

Menurutnya, dakwaan kononnya Malaysia kini terpaksa membayar tarif dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat adalah tidak berasas.

Malah, keputusan mahkamah yang menolak pelaksanaan tarif global oleh Presiden Donald Trump secara langsung menyebabkan tarif 19 peratus yang pernah dikenakan ke atas Malaysia tidak lagi terpakai.

Tengku Zafrul menegaskan, ART bukan langkah tergesa-gesa, sebaliknya strategi perlindungan awal.

Beliau mengibaratkan perjanjian itu seperti insurans perjalanan yang dibayar sebelum musibah berlaku bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

Katanya, Malaysia tidak boleh menunggu keputusan mahkamah kerana risiko perdagangan global menuntut tindakan pantas dan berani.

Beliau turut mempersoalkan kritikan terhadap pendekatan Malaysia sedangkan beberapa kuasa ekonomi lain termasuk Kesatuan Eropah, United Kingdom, Korea Selatan, Jepun dan Indonesia turut mengambil langkah serupa bagi melindungi industri masing-masing.

Tegasnya, isu ART bukan medan politik untuk menunjukkan siapa paling lantang, tetapi soal siapa paling cepat bertindak mempertahankan ekonomi negara.

“Dalam perdagangan global, siapa lambat bergerak, dia yang akan bayar harga paling mahal,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles