Wanita Tikam Ibu Guna Pembuka Tin Hingga Cedera Di Leher

REMBAU: Seorang wanita warga emas berusia lingkungan 80-an cedera di bahagian leher selepas dipercayai ditikam anak perempuannya sendiri dalam kejadian mengejutkan di Kampung Segineh, Inas, Kuala Pilah, malam tadi.

Insiden itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7.08 malam selepas polis menerima maklumat orang awam berhubung pergaduhan membabitkan ahli keluarga.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Supritendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan alat pembuka tin sebagai senjata untuk menikam leher ibunya.

Mangsa yang mengalami kecederaan segera dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan lanjut.

Menurut Muhamad Mustafah, keadaan mangsa kini stabil namun masih berada di bawah pemantauan pihak hospital.

Suspek yang berusia sekitar 50-an dan merupakan anak kandung mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.

Motif kejadian masih belum dikenal pasti sepenuhnya, namun polis tidak menolak kemungkinan wanita terbabit mempunyai masalah kesihatan mental.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Sementara itu, sumber memaklumkan kejadian berkenaan disedari jiran yang datang ke rumah dua beranak itu untuk memeriksa keadaan mereka.

Difahamkan, jiran tersebut sebelum ini diminta oleh anak-anak mangsa yang lain untuk menjenguk keadaan ibu dan kakak mereka.

Sebaik tiba, jiran berkenaan terkejut apabila mendapati suspek sedang menikam leher ibunya.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital oleh salah seorang anaknya yang lain selepas mendapati wanita itu turut mengalami kecederaan di bahagian kening.

BBerkaitan

Latest articles