KUALA LUMPUR: Lelaki yang dikaitkan dengan rakaman video tular memaparkan tindakan kejam terhadap seorang kanak-kanak perempuan telah pun didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Disember lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, suspek berusia 32 tahun yang merupakan bapa tiri mangsa ditahan pada 20 Disember tahun lalu susulan laporan polis dibuat ibu kanak-kanak berkenaan sehari sebelum itu, kira-kira jam 1.48 tengah hari.
Menurut beliau, kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kediaman di sekitar Setapak, Kuala Lumpur selepas pengadu menemui beberapa rakaman video yang menunjukkan mangsa dipercayai menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media sosial digemparkan dengan video berdurasi kira-kira dua minit yang memaparkan seorang lelaki memukul, menendang serta mengarahkan kanak-kanak perempuan tersebut berlari berulang kali.
Rakaman berkenaan turut dimuat naik oleh pempengaruh Instagram capricedaddycap, yang turut mencetuskan kemarahan netizen.
Rata-rata warganet mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku selain memastikan keselamatan mangsa terus terjamin.
Dalam pada itu, Fadil mengingatkan orang ramai supaya tidak berdiam diri sekiranya mengetahui sebarang kes penderaan, khususnya melibatkan kanak-kanak.
“Segera tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.










