Sanusi Nafi Persoal Kerakyatan Bukan Melayu, Dakwa Ucapan Berpaksikan Fakta Sejarah

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan kenyataannya ketika berkempen di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini tidak pernah bertujuan menafikan status kerakyatan masyarakat bukan Melayu di negara ini, sebaliknya menyentuh hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ucapannya hanya mengulangi fakta sejarah yang menurutnya pernah diiktiraf dalam rekod rasmi Parlimen British dan bukan satu gagasan baharu atau retorik politik.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pandangannya selari dengan kenyataan beberapa tokoh British terdahulu, termasuk Oliver Stanley, Lord Killearn dan Lord Ogmore yang menggambarkan Tanah Melayu sebagai wilayah yang mempunyai hubungan sejarah, politik dan kebudayaan yang rapat dengan masyarakat Melayu.

Menurutnya, hubungan itu dapat dilihat menerusi kewujudan negeri-negeri Melayu, penggunaan bahasa Melayu, adat istiadat, kedudukan Islam dalam sejarah, institusi Raja-Raja Melayu serta penggunaan nama Persekutuan Tanah Melayu.

“Ucapan saya bukan sesuatu yang luar biasa atau terpisah daripada sejarah. Ia hanyalah pengulangan dalam bahasa politik semasa terhadap pengakuan yang pernah dibuat secara terbuka di Parlimen British sejak 1946.

“Ia mempunyai persamaan dari segi kandungan dan konsep dengan ucapan Oliver Stanley pada 8 Mac 1946, Lord Killearn pada 13 April 1949 dan Lord Ogmore pada 29 Julai 1957,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sanusi berkata, sesuatu kenyataan perlu dinilai berdasarkan maksud, konteks dan keseluruhan ucapan, bukannya dipetik secara terasing atau dinilai berdasarkan latar belakang politik individu yang menyampaikannya.

Kontroversi tercetus selepas beliau dilaporkan berkata pada ceramah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara yang dikaitkan dengan asal-usul sejarah masing-masing.

Kenyataan itu kemudiannya ditafsirkan sesetengah pihak sebagai cubaan menafikan hak kerakyatan masyarakat bukan Melayu.

Mengulas perkara itu, Sanusi menegaskan tafsiran sedemikian tidak tepat dan telah mengabaikan konteks sebenar ucapannya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menganggap kenyataannya sebagai seruan untuk menghalau, menolak atau menafikan kewarganegaraan kaum Cina dan India di negara ini.

Sebaliknya, katanya, fokus ucapannya adalah mengenai hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu serta kebimbangannya terhadap kedudukan ekonomi dan politik masyarakat Melayu.

“Rekod Hansard bagi tahun 1946, 1949 dan 1957 jelas menunjukkan gagasan Tanah Melayu sebagai wilayah sejarah dan tanah air orang Melayu telah lama diiktiraf dalam rekod rasmi Parlimen British.

“Ia bukan ciptaan saya dan bukan juga retorik politik yang baharu. Justeru, adalah tidak tepat untuk memetik ucapan itu secara berasingan sehingga memberi gambaran saya mempersoalkan kerakyatan masyarakat Cina dan India,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles