Anwar Mahu Laporan RCI Tabung Haji Didedah, Serah Kepada Kabinet Buat Keputusan Rabu Ini

GEMAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap Jemaah Menteri pada mesyuarat Rabu ini dapat memutuskan supaya laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum demi memastikan ketelusan kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, sekiranya laporan itu didedahkan, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri kandungannya, sambil menegaskan tindakan terhadap mana-mana pihak perlu dibuat mengikut proses undang-undang.

“Kalau tidak bersalah, pertahankan diri. Kalau bersalah, dakwa. Jika dihukum penjara, jalani hukuman. Itu bukan urusan saya.

“Dalam sistem kita, siasatan dijalankan oleh badan penyiasat, pertuduhan diputuskan oleh Peguam Negara, manakala hukuman ditentukan oleh hakim,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Anwar turut menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau perlu bersikap jujur dalam setiap tindakan kerajaan, selain memastikan semua proses dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, isu RCI Tabung Haji dibangkitkan kerana keutuhan sesebuah negara bergantung kepada integriti individu yang diberi amanah untuk mentadbir.

“Bagi saya, negara tidak mungkin dapat mempertahankan keamanan jika mereka yang diamanahkan mengkhianati amanah yang diberikan,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan sokongan terhadap cadangan supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan kepada umum.

Malah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap laporan berkenaan dikeluarkan daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles