Tun Abdul Hamid – Bekas Ketua Hakim Negara Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR: Negara hari ini menerima khabar duka apabila bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Berita pemergian tokoh kehakiman itu mula tersebar menerusi perkongsian pelbagai pihak di media sosial.

Setakat laporan ini ditulis, jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Allahyarham yang dilahirkan pada 18 April 1942 merupakan Ketua Hakim Negara Malaysia ke-12 dan antara figura penting dalam landskap kehakiman negara.

Tun Abdul Hamid berasal dari Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Melayu Sungai Keladi sebelum melanjutkan pelajaran di St. Xavier’s Institution.

Minat mendalam dalam bidang perundangan membawanya melanjutkan pengajian ke Universiti Singapura, di mana beliau memperoleh ijazah undang-undang pada tahun 1969.

Kerjaya beliau dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan bermula sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak.

Kenaikan demi kenaikan jawatan menyusul apabila beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian.

Pada 1 September 2000, beliau menyandang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan, diikuti pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Karier cemerlangnya diteruskan apabila dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 September 2007.

Kemuncak perkhidmatan beliau adalah apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 65 tahun, sekaligus mengemudi institusi kehakiman negara di peringkat tertinggi.

Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia perundangan tanah air, khususnya atas sumbangan dan pengalaman luas beliau sepanjang lebih tiga dekad dalam sistem kehakiman negara.

BBerkaitan

Latest articles